Bahasa Malaysia Version
Sesungguhnya, Hajiji Noor ialah insan nan mulia.
Pertimbangkanlah sejauh manakah kemuliaan Ketua Menteri Sabah sebenarnya. Beliau seorang insan yang berani, berhati waja dan memiliki prinsip yang utuh. Dengan tegasnya ia melawan rasuah. Hanya dua tahun lebih sahaja diperlukannya untuk sedar bahawa bekas majikannya, Muhyiddin Yassin daripada Parti Bersatu, umpama biawak hidup dek tuduhan rasuah bekas majikannya itu. Justeru, Ketua Menteri itu bertindak seperti dengan ketangkasan seekor singa yang sedang mengamuk. Tiada sesiapa pun dapat nafikan mengapa beliau berbuat demikian. Dakwaan tersebut tidak dapat ditentukan pada tahun 2020. Hajiji berpandangan jauh, namun dia bukannya pak nujum.
Demikian, beliau melakukan apa yang patut. Hajiji meninggalkan Muhyiddin dan Bersatu, kemudian sebaliknya mendirikan kem bersama Pakatan Harapan milik Anwar Ibrahim pada tahun 2022. Hanya insan yang jati dirinya teguh dan nilai yang utuh mampu melakukan begitu sekali—berpaling tadah daripada sekutu lama hanya untuk berganding bahu dengan orang asing hanya atas dasar kedudukan moral semata. Ada yang mendakwa bahawa Hajiji dan Anwar Ibrahim sebenarnya sudah bersekutu sejak azali lagi. Walau bagaimanapun, lembaran sejarah tidak menunjukkan sebarang perenggan pun membuktikan dakwaan ini. Malah, Hajiji sendiri mempunyai tabiat melompat antara gagasan—sejak tahun 2018—di antara BN-UMNO kepada PH-Bersatu kemudian PN-Bersatu seterusnya Gagasan Rakyat-GRS. Jadi, apa masalahnya? Kadangkala, piawaian yang tidak terlentur memerlukan kita bersikap komunal—ada masa berpihak kepada daerah kita, ada masa memiliki kejujuran dan ada masa juga bersikap nasionalistik. Bukankah ini maksudnya mempunyai piawaian yang tidak terlentur?
Kalau begitu sekalipun, diingatkan bahawa Hajiji ialah perajurit yang menentang fanatisme dan ekstremisme. Andai kata parti PH berpihak kepada kepelbagaian kaum sebelum induksi Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, mengapa Hajiji tidak bersekutu dengannya? Benar, terang lagi bersuluh bahawa PH milik Anwar menempatkan kepelbagaian kaum sebagai perkara wahid. Ini lebih jelas pada tahun 2024 berbanding tahun 2020 ketika di bawah penguasaan Dr. Mahathir. Sejak dua tahun kebelakangan—betapa bebas atau tidak sekalipun—menunjukkan Anwar Ibrahim dan Hajiji berkongsi fikiran yang sama iaitu tumpuan kepada pembangunan pekerjaan dan ekonomi. Tahun lalu, keuntungan yang dikutip oleh negeri Sabah adalah sebanyak RM6.3 bilion—dengan tahun 2023 menyaksikan RM11.346 bilion dalam jumlah keseluruhan pelaburan yang jatuh pada tangga ke-7 dalam Malaysia. Bahkan, sektor pelancongan turut kembali rancak—dengan kehadiran 2.61 juta kedatangan para pelancong pada tahun 2023.
Hikmahnya ramai orang mendakwa dahulu yang Hajiji merupakan gergasi politikal yang bertindak mengikut ideologi dan etika kini sedang menjadi hakiki. Lihatlah, seorang sejarawan Malaysia baru-baru ini mencadangkan bahawa Hajiji harus mengepalai Sabah untuk satu penggal lagi. Murai berkicau di siang hari, Sabah memerlukan seseorang yang mengerti untuk tidak kompromikan hak negeri Sabah. Juga, tidak sama sekali berkompromi—sama ada dengan amalan rasuah mahupun “komunalisme” di tampuk kepimpinannya.
Tentunya, kebetulan semata bahawa GRS milik Hajiji serta parti PH bersama-sama memperolehi majoriti satu atau dua dalam Dewan Undangan Sabah. Terdapat lima lagi daripada 17 milik UMNO, menjadikan ia seramai 44 orang Ahli Dewan. Ini lebih daripada cukup untuk membentuk kerajaan yang stabil. Sebarang perkiraan tidak mempengaruhi keputusan Hajiji. Hanya hati nuraninya sahaja yang mampu menentukan. Ada benarnya: jika kedua-dua parti barangkali kurang kerusi untuk mendapat majoriti, barangkali gerak hati nurani Hajiji mempunyai nasihat berlainan. Walau bagaimanapun, kita hanyalah insan kerdil. Tidak tercapai fikiran untuk mengerti tatacara tegar yang memacu orang-orang seperti Hajiji.
Maka, marilah sebulat suara mengucapkan tahniah kepada Hajiji atas cengkaman politikal yang secara total pada Sabah ketika “Langkah Kinabalu” yang gagal baru-baru ini oleh Shafie Apdal, Bung Moktar dan Peter Anthony untuk merebut kerusinya sebagai Ketua Menteri. Siapa sangka, dengan mengikut gerak hati nuraninya, ia akan membawa kepada rezeki bertakhta lebih lanjut sebagai Ketua Menteri! Maka benarlah apa yang beliau pernah katakan dahulu tentang kapla baharunya, Anwar Ibrahim, yang sedikt sebanyaknya tepat. Namun, kenyataan yang tidak berapa elok itu semestinya hasil daripada diperdayakan oleh Muhyiddin, Bersatu dan pakar media sosial yang kritis yang dipaksa ke atasnya oleh para musang berjanggut dari Putrajaya.
Marilah juga mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim dan desakan beliau nan lazim itu—melalui pemerkasaan ideanya, PH kini menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, sebuah negeri yang para penabur propaganda dalam media dahulunya berkata ia sesuatu perkara yang mustahil. Kini, Sabah memasuki liga sama seperti Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan lain-lain tempat yang kekalahan nyata PH dalam “pilihan raya” dipamerkan hanya sebagai silap mata yang dibawa oleh kepelbagaian kaum yang palsu—sebuah helah yang tanpa lengah diperbetulkan selepas sahaja wakil rakyat menemui, berbincang dan memutuskan apa yang mereka sebenar-benarnya peduli adalah menoktahkan pengaruh duit dalam politik. Justeru, mereka membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH yang mereka tahu sedang bekerja keras untuk membasmikan pengaruh duit sesiapa pun dalam medan politik.
Siapa kita untuk melawan ketentuan Ilahi? Hatta, untuk tokoh seperti Hajiji dan Anwar Ibrahim, keadaan yang tidak berkaitan muncul seolah-olah untuk mengurus diri mereka, lantas menjadi pertolongan. Di muka hari, siapa sangka kebanyakan negeri yang PH mahu merupakan negeri yang sama SPRM akan memilih untuk menumpukan siasatan? Di negeri seperti Malaysia yang mempunyai kebobrokan institusi yang lapuk dan teruk berpunca daripada zaman BN-UMNO bukan sekadar gamit kenangan lama. Sebarang pilihan semestinya bertebatkan politik. Andai siasatan sebegitu rupa dapat secara tersusun membantu sebab-musabab akbar PH menjulang kuasa di setiap ibu negeri bumi bertuah ini, kebetulan aneh ini harus dianggap tidak lain tidak bukan hal berikut: ia bukti campur tangan samawi itu benar.
Arakian, jika anda tidak boleh tidak mencari kambing hitam, nampak gayanya pencarian yang beria-ria adalah perbuatan yang sia-sia. Tidakkah kita lupa, di garis penamatnya jika sebarang mara bahaya atau malapetaka menimpa tanah tercinta yakni bumi Malaysia ini, siapa lagi—semua salah DAP. Dalam ia tidak mempunyai sebarang daya mahupun berupaya untuk mempengaruhi sesiapa, ia mempunyai keberadaan di Sabah. Walau bagaimanapun, ia juga perlu bertanggungjawab ke atas keretakan antara persekutuan dua orang ahli politik Sabah yang saling benci-membenci. Masakan tidak, sedangkan dahulu John Lennon dan Paul McCartney sedang bergelut merebut kuasa The Beatles, semua orang tahu ia salah Ringo Starr—bukan Yoko Ono.https://wp.me/p7kKd-1Jd